GHAZAL PULAU PINANG

Ghazal Pulau Pinang ialah hasil daripada pendidikan Arab yang diterima oleh masyarakat Pulau Pinang, yang dipelopori oleh masyarakat Melayu Masjid Lebuh Acheh. Kumpulan ini merupakan yang pertama menerima pendidikan secara formal. Seterusnya mereka ini akan menyambung pelajaran ke Mesir. Berlainan daripada pendidikan pondok, mereka lebih moden dari segi pendidikan dan pandangan. Justeru sewaktu pulang ke Pulau Pinang, mereka telah membawa sekali  pengaruh moden Arab Mesir (sewaktu pemerintahan King Farouk), seterusnya membawa balik muzik-muzik Arab moden.

Mereka yang pulang dan bertugas sebagai guru agama seterusnya menubuhkan pancaragam yang dikenali sebagai ghazal. Keistimewaan ghazal Pulau Pinang ini ialah mereka memainkan irama kontemporari Mesir. Pada mulanya hanya ada kumpulan yang bermain muzik dan menari sahaja, tetapi apabila filem-filem Mesir masuk ke Pulau Pinang dan menerima pengaruh yang kuat, maka ghazal ini dinyanyikan sambil menari yang terdiri daripada perempuan. Apabila persembahan dijalankan di Pulau Pinang, menjadikan perempuan menari di atas pentas agak janggal di kalangan masyarakat selain penonton yang hadir pula terdiri daripada orang-orang alim. Jadi untuk mengatasi situasi berkenaan, mereka telah menggantikannya dengan lelaki yang berpakaian wanita.

Pada tahun 1950an hingga 1960, irama Bollywood telah berkembang di Pulau Pinang, justeru ghazal telah digabung rentaknya dengan rentak Hindustan. Antara kumpulan yang terkenal ialah Kumpulan Ghazal Bukit Tengah yang menjayakan persembahan hingga ke Sungai Petani. Ghazal turut dimainkan mengikut rentak soul berdasarkan penonton, tempat dan permintaan. Keghairahan ghazal menurun bila kesedaran Islam wujud yang mengharamkan lelaki berpakaian wanita.

Alatan muzik ghazal terdiri daripada biola, gambus, akordion, kecapi, double base, gendang maruas dan seruling. Pemuzik pula dalam satu kumpulan terdiri daripada lapan hingga dua belas anggota bergantung kepada peralatan muzik.

Laman berkaitan "GHAZAL PULAU PINANG" - KLIK
collage 2016 10 22 1